Hari ini genaplah umur saya 40 tahun. Ramai kawan-kawan yang ucapkan selamat hari lahir. Saya juga mengucapkan selamat kepada semua.
Kalau umur saya panjang sehingga 80 tahun, maknanya saya sudah separuh usia. Jika 60 tahun, maknanya sudah 3/4 perjalanan hidup ini saya lalui. Jika 45 tahun, maknanya usia ini sudah sampai ke senja hari,tidak lama akan mengadap Allah menjawab segala persoalan dan amanah sebagai hamba-Nya.
Seringkali usia 40 tahun dikaitkan dengan pelbagai perkara; kematangan, kestabilan, kesempurnaan dan selalu juga dikaitkan dengan 'permulaan zaman meragam'. Moga 40 saya ini adalah usia yang membawa kepada bertambahnya belas ihsan Allah kepada saya. Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Seseorang hamba muslim itu apabila mencecah usia 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya. Apabila mencecah usia 60 tahun, Allah akan mengurniakan perasaan berserah kepadaNya. Apabila mencecah usia 70 tahun, penduduk langit akan mencintainya. Apabila mencecah usia 80 tahun, Allah akan kukuhkan kebaikannya dan menghapuskan dosanya. Apabila mencecah usia 90 tahun, Allah akan mengampunkan dosanya yang telah lampau dan yang akan datang, mengurniakannya syafaat buat ahli keluarganya dan ditulis di langit sebagai tahanan Allah di atas muka bumi." (Riwayat Imam Ahmad)
Kematian adalah kepastian yang tidak boleh diubah. Di tangan manusia ikhtiar untuk menentukan bentuknya. Bakti dan jasa adalah sedekah jariah selain infaq harta dan doa anak soleh. Hari-hari yang berlalu menghampirkan saya kepada kematian, moga Allah kurniakan semangat untuk terus menabur jasa dan bakti.
Muslim yang soleh seimbang di dalam persediaan menghadapi kematian dan gejolak semangat perasaan untuk terus hidup menabur budi.
Biodata Kolumnis
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni merupakan Naib Presiden merangkap Pengerusi Sekretariat Belia dan Sekretariat Luar Negara ISMA. Beliau juga merupakan graduan dari Universiti Al-Azhar, Mesir dalam jurusan Fakulti Syariah dan Undang-Undang. Blog beliau boleh dilawati di http://www.satuperkongsian.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan